CIRI KEPERIBADIAN MUSLIM YANG SOLEH
Muslim yang salih adalah gelaran yang tinggi bagi seorang muslim.
Untuk menjadi muslim yang salih, seseorang perlu menghayati Islam
sepenuhnya.
Ciri-ciri berikut harus dimiliki agar seseorang muslim dapat menjadi muslim yang salih:
1. ( سليم العقيدة ) Aqidah yang sejahtera
Seorang
muslim yang salih ialah muslim yang memiliki aqidah, keyakinan dan
hubungan yang kuat dengan Allah Subhanahuwataala. Kekuatan tauhid yang
dimilikinya membebaskannya daripada syirik. Dia meninggalkan ilah-ilah
selain daripada Allah Subhanahuwataala, seperti harta, wanita, pangkat,
kedudukan dan sembahan-sembahan yang lain. Dia juga membebaskan dirinya
daripada tunduk kepada isme-isme dan budaya-budaya yang menyesatkan.
Juga daripada tahayul, kurafat dan ramalan-ramalan dukun yang merosakkan
‘aqidah kepada Allah Subhanahuwataala. Keyakinannya hanya kepada Allah
Subhanahuwataala kerana semua urusan berada di tangan Allah
Subhanahuwataala.
Banyak ayat di dalam Al Qur’an Al Karim
melarang keras semua bentuk syirik. Semua manusia diperintahkan agar
hanya beribadah kepada Allah Subhanahuwataala serta meninggalkan
ilah-ilah yang lain.
Seorang muslim yang salih akan
memelihara perasaan takut kepada Allah Subhanahuwataala. Dia rasa selalu
diawasi oleh Allah Subhanahuwataala berdasarkan firmanNya:
“Dan
sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang
dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat
lehernya.”(Qaf : 16)
Firman-Nya:
“...Dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada, dan Allah Maha Melihat terhadap apa yang kamu kerjakan.”(Al Hadid : 4)
2. ( صالح العبادة ) Ibadah yang salih
Seorang
muslim yang salih akan selalu berhati-hati dalam beribadah kepada Allah
Subhanahuwataala. Niatnya ikhlas dan caranya betul mengikut syara’. Dia
beribadah berdasarkan dalil-dalil yang sahih dan meninggalkan amalan
bid’ah atau yang berbau bid’ah.
Niat yang ikhlas dan
amalan yang menepati syari’at Islam akan mendatangkan manfa’at untuk
dirinya dan persekitaran. Dia akan dikumpulkan bersama para nabi dan
syuhada’ di akhirat kelak.
3. ( متين الخلق ) Akhlak yang mantap
Rasulullah
Salallahu’alaihiwasallam adalah orang yang paling sempurna akhlaknya.
Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam adalah contoh tauladan kita. Seorang
muslim wajib mencontohi akhlak Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam.
Rasulullah
Salallahu’alaihiwasallam mempunyai akhlak yang baik dan mantap terhadap
kawan dan lawan. Beliau tidak sekali-kali bersikap zalim terhadap
manusia.
Ibadah kita kepada Allah Subhanahuwataala mungkin akan sia-sia kiranya kita mempunyai akhlak yang buruk.
Justeru itu muslim yang salih, wajiblah baginya memiliki akhlak yang mulia.
4. ( قوي الجسم ) Tubuh badan yang kuat
Seorang
muslim perlu memiliki tubuh badan yang kuat dan sihat kerana dia
memikul tanggungjawab yang berat. Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam
menggalakkan muslim melakukan senaman dan menjaga pemakanan yang
seimbang, baik lagi halal. Muslim yang aktif dalam hidupnya, samada
dalam urusan da’wah atau mencari nafkah hidup, memerlukan tubuh badan
yang sihat agar semua kerjanya dapat berjalan lancar.
Rasulullah
Salallahu’alaihiwasallam ada menyatakan bahawa muslim yang kuat lebih
utama dam lebih dicintai Allah Subhanahuwataala daripada muslim yang
lemah.
5. (مثقف الفكر ) Pemikiran yang terdidik dan matang
Muslim
yang salih haruslah memperhatikan perkembangan akalnya. Akal perlu
diasah dengan pengisian ilmu. Sahabat-sahabat Rasulullah
Salallahu’alaihiwasallam, seperti Saidina Ali, Saidina Omar Al Khattab
dan Sayyidah A’isyah adalah orang-orang yang memiliki ilmu yang tinggi.
Medan
da’wah sangat memerlukan penguasaan terhadap berbagai-bagai disiplin
ilmu. Musuh-musuh Islam telah menyusup ke pelbagai bidang kehidupan
melalui disiplin-disiplin ilmu yang mereka kuasai. Untuk melawan mereka,
maka kita juga perlu menguasai berbagai-bagai disiplin ilmu. Di zaman
yang mencabar kini, dalam berbagai-bagai bidang kehidupan, ketinggian
pemikiran atau intelektual semakin diperlukan.
Begitu juga, tabi’at minat membaca perlu dimiliki oleh muslim yang salih.
6. ( منظم فى شؤونه) Teratur dalam urusan atau kerja
Muslim
yang salih harus berkerja secara teratur hingga melahirkan hasil kerja
yang berkualiti. Di samping penghasilan kerjanya baik, niat yang ikhlas
sangat dituntut.
Muslim yang menghayati sifat ihsan akan
melakukan kerja yang terbaik. Pekerjaan yang dilakukan secara
membabi-buta dan tidak teratur, akan mengakibatkan kekecewaan dan
kerugian. Jika berlaku sedemikian, kepercayaan orang lain terhadapnya
mungkin hilang.
Apatah lagi kerja yang berkaitan dengan
da’wah Islamiyyah, maka ia perlu dilakukan dengan teratur. Kerja da’wah
yang berkualiti mempunyai pengaruh yang besar untuk mengeluarkan hasil
yang juga berkualiti.
7. Menguasai diri sendiri
Muslim
yang salih mampu menguasai diri sendiri. Beliau dapat bersabar sewaktu
ditimpa kesusahan dan bersyukur kepada Allah Subhanahuwataala sewaktu
mendapat kegembiraan atau menerima nikmat daripada Allah
Subhanahuwataala.
Beliau juga tenang sewaktu melaksanakan
masuliyah da’wah yang mencabar, optimis dengan kejayaan da’wah dan
pertolongan Allah Subhanahuwataala. Begitu juga, beliau takut hanya
kepada Allah Subhanahuwataala dan mengharap hanya kepada Allah
Subhanahuwataala.
8. ( حريس على وقته) Menjaga waktu dengan baik
Allah
Subhanahuwataala telah mengingatkan kita betapa ruginya seseorang yang
mensia-siakan waktunya. Akhirnya, dia akan menyesal dengan sesalan yang
tidak berguna lagi.
Rasulullah Salallahu’alaihiwasallam ada berpesan supaya kita jangan membuang masa atau melengah-lengahkan kerja. Sabda baginda:
“Jika
engkau di waktu petang maka janganlah engkau menunggu pagi, dan jika
engkau di waktu pagi maka janganlah menunggu petang, dan pergunakanlah
sihatmu sebelum kamu sakit dan pergunakanlah di waktu hidupmu sebelum
kamu mati.”(Riwayat Imam Bukhari)
Rasulullah
Salallahu’alaihiwasallam juga pernah mengingatkan kita bahawa ramai
manusia lalai terhadap dua nikmat yang sangat berharga iaitu kesihatan
dan waktu yang terluang.
Muslim yang salih melihat waktu
hidupnya sebagai satu tempoh yang sangat penting dan genting. Dia selalu
bertanya pada dirinya, “Adakah waktu hidupku yang berlalu diisi dengan
aktiviti-aktiviti yang bermanfaat untuk kehidupan di dunia dan
akhirat?”.
Imam Hasan Al Banna mengingatkan kepada kita
bahawa “Waktu itu kehidupan”. Ini bermakna jika waktu itu tidak
digunakan sebaik-baiknya bererti kita telah mensia-siakan hidup.
Waktu
kita sangat terbatas. Oleh itu waktu itu perlu digunakan dengan cara
yang paling berkesan dan efisyen. Janganlah sampai kita gunakan waktu
untuk perbuatan yang sia-sia, jauh sekali daripada melakukan ma’siat.
Bukankah kewajipan kita lebih banyak daripada waktu yang kita ada?
9. ( قادر على الكسب ) Mampu untuk berkerja
Seorang
muslim yang salih bersifat berdikari. Dia boleh berusaha sendiri untuk
mencari nafkah bagi diri sendiri, keluarga dan orang-orang yang berada
di bawah tanggungannya.
Muslim yang salih akan berusaha
sedapat mungkin untuk mengelakkan diri daripada bergantung kepada orang
lain. Jauh sekalilah pergantungan itu melebihi daripada pergantungan
kepada Allah Subhanahuwataala.
Dalam soal-soal untuk
memenuhi keperluan-keperluan hidup (ma’isyah), muslim yang salih lebih
suka untuk berdikari atau berusaha sendiri. Bagi da’i atau murabbi,
kemampuan beruasaha sendiri dalam soal ma’isyah adalah penting. Sehingga
dengan kemampuan maddi yang ada padanya, dia mampu pula untuk
menghidupkan atau mengukuhkan da’wah Islamiyyah.
10. ( نافع للغير ) Bermanfaat terhadap orang lain
Islam
diturunkan sebagai rahmatan lil ‘alamin. Seorang muslim yang salih
harus menjadi rahmat bagi ‘alam. Dia membawa manfaat kepada diri
sendiri, orang lain dan ‘alam sekitarnya dalam rangka menegakkan Islam.
Muslim
yang salih harus membawa keberkatan. Kebaikannya sangat diperlukan
orang lain, baik dari segi harta benda, tenaga mahu pun ilmu. Muslim
yang sebegini akan boleh melahirkan ramai penyokong Islam, InsyaAlla







